Saturday 14 June 2014

LAPORAN UMUM AGIHAN PERTAMA SESI 2014/2015.



Pada 10 Mei 2014 yang lepas, pihak UZS telah mengadakan mesyuarat Agihan Bantuan Zakat kepada pelajar-pelajar di bawah MPMMJ yang memerlukan bantuan.

Jumlah permohonan yang diterima adalah sebanyak 155 borang merangkumi empat mantiqah iaitu Amman, Irbid, Mafraq dan Mutah. Daripada jumlah permohonan tersebut hanya 107 permohonan telah diluluskan melalui penapisan dan saringan awal. 52 daripada Mutah, 31 daripada Mafraq, 18 daripada Irbid dan 9 daripada Amman.

Jumlah bantuan yang diberikan kepada gred 3 sebanyah 25JD, gred 4 sebanyak 40JD, dan gred 5 sebanyak 70JD. Jumlah keseluruhan agihan adalah berjumlah 4295JD bersamaan RM 19,516.40.

Jumlah pemohonan pada kali ini meningkat daripada 131 pemohon kepada 155 pemohon. Akan tetapi, jumlah penerima bagi kali ini tiada penambahan daripada sesi lepas.

Terima kasih kepada Badan-Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) di atas kerjasama yang diberikan dan juga kepada semua warga MPMMJ yang memberi sumbangan secara langsung atau tidak langsung. Tidak lupa juga kepada penderma dari Malaysia, jutaan terima kasih kami ucapkan.

Buat penerima, kami pihak UZS memohon maaf seandainya bantuan yang kami agihkan tidak mencukupi, dan diharapkan dapat menggunakan bantuan yang sedikit itu dengan sebaiknya.

Firman Allah s.w.t :
''Apa pun yang kamu infakkan, maka kebaikannya kepada dirimu sendiri, dan janganlah kamu berinfak melainkan kerana mencari keredaan Allah'' (Al-Baqarah:272)

*sebarang sumbangan boleh disalurkan ke Akaun UZS (CIMB Bank) bernombor 122-0001872-20-6 di atas nama Muhammad Zahran bin Abd Razak. Atau disampaikan kepada mana-mana wakil UZS.



Thursday 16 January 2014

LAPORAN UMUM AGIHAN DANA UNIT ZAKAT DAN SEDEKAH SE-JORDAN KALI PERTAMA BAGI SESI 2013/2014

LAPORAN UMUM AGIHAN DANA UNIT ZAKAT DAN SEDEKAH SE-JORDAN KALI PERTAMA BAGI SESI 2013/2014 Unit Zakat dan Sedekah Se-Jordan (UZS) merupakan sebuah unit kebajikan di bawah Majlis Perwakilan Mahasiswa Malaysia Jordan (MPMMJ). Merupakan sebuah unit yang bertanggungjawab mewujudkan kesedaran tentang kewajipan zakat dan sedekah dan juga menggembeleng hasil kutipan zakat dan sedekah untuk manfaat pelajar-pelajar Malaysia di Jordan yang memerlukan. Alhamdulillah beberapa hari yang lepas telah selesai mesyuarat tapisan borang permohonan dan pengagihan bantuan dana kewangan kepada pelajar-pelajar seluruh Jordan yang kurang bernasib baik. Tahun ini seperti tahun sebelumnya pihak UZS membuka dan menerima permohonan daripada semua mantiqah di Jordan iaitu Irbid, Amman, Mafraq, dan Mutah. Tahun ini juga, buat pertama kalinya kerjasama telah dilakukan bersama unit Taawun Persatuan Mahasiswa Irbid (PERMAI) dalam mengagihkan bantuan di mana pihak Taawun menyediakan dana khas untuk membantu para pemohon daripada Irbid. Maka tahun ini, pihak UZS hanya memberi bantuan dana kepada tiga mantiqah lain iaitu Amman, Mafraq, dan Mutah. Jumlah permohonan yang diterima adalah sebanyak 131 borang merangkumi tiga mantiqah tadi. Masing-masing 52 permohonan daripada Mutah, 59 permohonan daripada Mafraq, dan baki 20 permohonan daripada Amman. Daripada jumlah permohonan tersebut setelah ditapis dan sesi temuduga, 107 permohonan telah diluluskan. 44 daripada Mutah, 49 daripada Mafraq, dan 14 daripada Amman. Para pemohon telah dibahagikan mengikut gred kesusahan daripada gred 1 (paling senang) sehingga gred 5 (paling susah). Daripada gred tersebut, kami hanya memberi bantuan kepada mereka yang berada di gred 3 hingga 5 kerana faktor kewangan kami yang tidak mengizinkan. Jumlah penerima mengikut gred pula adalah gred 3 seramai 26 orang, gred 4 seramai 43 orang, dan gred 5 seramai 38 orang. Izinkan saya berkongsi sedikit antara kes-kes kesusahan pelajar Jordan mengikut gred. Antara kes yang biasa bagi gred 3 adalah pelajar tersebut menerima RM400 setiap bulan (tetap/tidak tetap) daripada keluarga, pelajar biasa (a'di) syariah di universiti, pendapatan keluarga kurang daripada RM3000 dan memiliki tanggungan lebih daripada 5 orang. Kes biasa bagi gred 4 pula, menerima bantuan lebih kurang, RM400 setiap bulan (tetap/tidak tetap) daripada keluarga, menerima bantuan tajaan/zakat setahun sekali tetapi merupakan pelajar tajsir (yuran 3 kali ganda a'di), gaji keluarga dalam lingkungan RM3000 ke bawah dan memiliki tidak kurang daripada 5 orang tanggungan. Bagi kes biasa gred 5 pula, menerima bantuan kurang daripada RM250-RM400 sebulan (tetap/tidak tetap) daripada keluarga, tidak menerima apa-apa tajaan/zakat dan merupakan pelajar tajsir. Gaji keluarga dalam lingkungan RM2500 ke bawah dan jumlah tanggungan juga tidak kurang daripada 5 orang. Jumlah bantuan yang diberikan bagi gred 3 adalah sebanyak JD 30, gred 4 sebanyak JD 60, dan gred 5 sebanyak JD 100. Jumlah keseluruhan agihan pula adalah sebanyak JD 7,160 bersamaan RM 32,936. Bantuan kali ini meningkat sedikit berbanding bantuan-bantuan lepas dan jumlah penerima juga bertambah secara mendadak daripada 68 penerima sesi lepas kepada 107 penerima sesi ini. Sesi ini walaupun dari segi kewangan tidak seberapa tetapi kami cuba untuk memaksimumkan bilangan penerima kerana percayalah, kehidupan mereka sangat susah. Apa yang saya nyatakan adalah kes-kes biasa bagi setiap gred dan kami di dalam mesyuarat menjadi saksi ada kes yang lebih teruk daripada itu. Bayangkan dalam keadaan negara kita yang telah merdeka selama 56 tahun, kami dapati ada antara kawan-kawan kita yang bapanya bekerja sebagai nelayan, petani, dengan pendapatan dalam lingkungan RM700-RM1000 sebulan sahaja. Ditambah lagi dengan bilangan tanggungan yang ramai, hutang keluarga, hutang PTPTN adik-beradik yang berada di universiti dan ada juga yang membuat hutang pendidikan bagi menampung pengajian anak-anak di sini. Ini adalah kisah realiti nasib pelajar Jordan atau kawan-kawan kita di sini. Tujuan saya menulis bukanlah untuk mengaibkan mana-mana pihak. Tetapi niat saya ikhlas, ingin membuka mata kawan-kawan yang lain supaya mula berfikir tentang nasib kawan-kawan kita yang susah dan berfikir lebih jauh tentang nasib rakyat negara kita yang semakin hari, harga barang semakin naik, dasar gaji minimum yang masih tiada penyelesaian dan budaya berhutang yang sangat membimbangkan dalam masyarakat kita yang tentunya membawa kepada kehidupan yang lebih menekan. Terbaru kadar nilai mata wang ringgit yang jatuh pastinya memberi kesan besar kepada nasib pelajar-pelajar di sini. Selain itu, kos pendidikan yang semakin mahal, tentunya mendatangkan kerisauan kepada rakyat yang melihat pendidikan sebagai satu-satunya cara untuk mengubah masa depan keluarga mereka. Kadang-kadang ada yang berkata, tiada duit belajarlah di tanah air, tetapi realitinya mereka terpaksa belajar di sini kerana tiadanya peluang dan tempat di negara kita. Bagi kawan-kawan saya di Jordan khususnya yang memegang jawatan dalam BKAN (Badan Kebajikan Anak Negeri) dan persatuan-persatuan zon, berjimatlah dan berhemahlah dalam berbelanja khususnya apabila melaksanakan program-program. Tumpukanlah dana seboleh mungkin bagi membantu sahabat-sahabat kita yang memerlukan. Buanglah perbelanjaan dan kos-kos yang tidak perlu dan yang paling penting satu usaha bersepadu harus dimulakan untuk menyatukan dana-dana bantuan yang kita ada dan mengagihkannya secara bersepadu, efisien, dan sampai kepada golongan sasaran. Terima kasih kepada pihak MPMMJ atas sokongan yang diberikan, pihak Taawun PERMAI yang sudi menghulurkan kerjasama demi kemaslahatan semua dan kepada BKAN-BKAN yang sentiasa bersedia membantu dalam melicinkan perjalanan bantuan kami. Di kesempatan ini juga, saya ingin merakamkan ucapan sekalung terima kasih buat para pembayar zakat dan mereka yang banyak bersedekah kepada pihak kami. Kepada para penerima yang membaca laporan ini, minta maaf didahulukan andai bantuan yang kami agihkan tidak mencukupi, insyaAllah bantuan akan diagihkan selewatnya hujung minggu ini dan harapnya bantuan yang sedikit itu akan kalian gunakan sebaiknya. ''Apa pun yang kamu infakkan, maka kebaikannya kepada dirimu sendiri, dan janganlah kamu berinfak melainkan kerana mencari keredaan Allah'' (Al-Baqarah:272) -Menyuci Harta; Membersih Jiwa- Muhammad Arham Munir Merican bin Amir Feisal Merican, Pengerusi UZS 13/14.




Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | 100 Web Hosting