Thursday, 10 February 2011

ZAKAT WANG SIMPANAN


PENDAHULUAN

Antara zakat yang wajib dikeluarkan ialah zakat harta atau wang simpanan. Kewajipan ini bersandarkan kepada hukum zakat emas dan perak kerana mempunyai illah (sebab) yang sama iaitu mata wang. Firman Allah Taala:

((وَالَّذِينَ يَكْنِزُونَ الذَّهَبَ وَالْفِضَّةَ وَلَا يُنْفِقُونَهَا فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَبَشِّرْهُمْ بِعَذَابٍ أَلِيمٍ))

Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. [Surah Al-Taubah: ayat 34].

Abu Daud meriwayatkan daripada Saidina Ali bahawa Nabi Muhammad s.a.w telah bersabda:

"Apabila kamu mempunyai 200 dirham dan telah cukup haul (genap setahun) diwajibkan zakatnya 5 dirham , dan tidak diwajibkan mengeluarkan zakat (emas) kecuali kamu mempunyai 20 dinar (salah satu matawang zaman dahulu yang digunakan di negara Arab). Apabila kamu mempunyai 20 dinar dan telah cukup haulnya diwajibkan zakatnya setengah dinar. Demikian juga kadarnya jika nilainya bertambah dan tidak diwajibkan zakat bagi sesuatu harta kecuali genap setahun."


Syarat Wajib Zakat


1. Pemilikan sempurna


Kekayaan pada dasarnya adalah milik Allah. Yang dimaksud pemilikan disini hanyalah penyimpanan, pemakaian, dan pemberian kuasa yang diberikan Allah kepada manusia, sehingga sesorang lebih berhak menggunakan dan mengambil manfaatnya daripada orang lain.

Yang dimaksudkan dengan istilah "pemilikan sempurna" ialah kekayaan itu mestilah berada di bawah kawalan dan kekuasaannya. Dengan kata lain, kekayaan itu harus berada di tangannya, tidak tersangkut di dalamnya hak orang lain, dapat ia pergunakan dan faedahnya dapat dinikmatinya.

Berikut merupakan syarat tidak wajib zakat:

  • Kekayaan yang tidak mempunyai pemilik tertentu
  • Tanah waqaf dan sejenisnya
  • Harta haram. Karena harta tersebut tidak sah menjadi milik seseorang
  • Harta pinjaman. Dalam hal ini kewajipan zakat itu lebih hampir kepada si pemberi hutang (kecuali bila hutang tersebut tidak diharapkan kembali). Bagi orang yang meminjam pula, kewajipan zakat akan jatuh kepadanya apabila dia tidak mahu atau membuat helah pembayaran dari harta tersebut sementara dia terus mengambil manfaat dari harta tersebut. Dengan kata lain orang yang meminjam telah memperlakukan dirinya sebagai "si pemilik penuh".

2. Nisab (nilai):

Harta tersebut hendaklah cukup nisab dan nilainya mengikut harga 85 gram emas atau 595 gram perak. Namun begitu pengiraan yang dipilih oleh kebanyakan ulamak sekarang ialah mengikut nilaian emas kerana harga perak pada masa kini telah jatuh dan tidak digunakan sebagai sandaran lagi. Nilai ini biasanya berubah-ubah dari semasa ke semasa berdasarkan harga emas di pasaran tempatan.


3. Haul (tempoh):

Harta tersebut hendaklah sempurna berada dalam milik selama setahun mengikut bulan Islam.

  • Jika dalam tempoh setahun tersebut, harta itu menjadi kurang daripada nisab, maka tidak wajib zakat dan putus haulnya. Andaikata harta tersebut kembali bertambah dan cukup nisabnya, maka dari tarikh tersebut bermula haul yang baru.
  • Diwajibkan mengeluarkan zakat harta dengan wang, dan tidak sah menggantikannya dengan barang makanan dan lain-lain.


4. Harta yang boleh berkembang

Pengertian harta yang boleh berkembang ialah harta tersebut sentiasa bertambah baik secara berterusan (binatang ternak dll) dan tidak berterusan (yang berpotensi untuk berkembang, seperti wang apabila dilaburkan).

Nabi tidak mewajibkan zakat atas kekayaan yang dimiliki untuk kepentingan pribadi seperti rumah kediaman, alatan kerja, perabot rumah, binatang yang digunakan untuk berkerja, dan lain-lain. Karena semuanya tidak termasuk kekayaan yang boleh berkembang atau mempunyai potensi untuk berkembang. Maka dengan alasan ini, disepakati bahawa hasil pertanian dan buah-buahan tidak dikeluarkan zakatnya berkali-kali walaupun telah disimpan bertahun-tahun.

Dengan syarat ini pula, maka jenis harta yang wajib zakat tidak terbatas pada apa yang sering diungkapkan sebahagian ulama iaitu hanya 8 jenis harta (unta, lembu, kambing, gandum, biji gandum, kurma, emas, dan perak) akan tetapi semua kekayaan yang berkembang merupakan subjek zakat.


5. Bebas dari hutang

Maksud “Bebas dari hutang” ialah harta yang diwajibkan zakat ialah harta yang pemiliknya tidak dibelenggu oleh hutang yang perlu dibayar segera.

Jumhur ulama berpendapat bahawa hutang merupakan penghalang wajib zakat. Namun apabila hutang itu ditangguhkan pembayarannya (setelah berkemampuan untuk membayar), maka kewajipan zakat itu tidaklah terlepas.


6. Lebihan dari keperluan-keperluan asasi


Keperluan mestilah dibezakan dengan keinginan (hajat). Keperluan yang dimaksud adalah keperluan rutin iaitu sesuatu yang betul-betul diperlukan untuk keselesaan hidup. Sebagai contoh perbelanjaan sehari-hari, rumah kediaman, pakaian, dan senjata untuk mempertahankan diri, peralatan kerja, perabot rumah, haiwan tunggangan, dan buku-buku ilmu pengetahuan untuk kepentingan keluarga (karena kejahilan bererti kehancuran).

Keperluan ini berbeza dengan berubahnya zaman, situasi, dan juga besarnya tanggungan
dalam keluarga yang berbeza-beza. Persoalan bagi menilaikan tingkat keperluan ini perlulah diserahkan kepada ahlinya.

Zakat akan dikenakan apabila harta itu telah lebih dari keperluan rutin. Sesuai dengan ayat "sesuatu yang lebih dari keperluan..." (surah al baqarah : 219) dan juga hadith "zakat hanya dikenakan ke atas orang kaya", dan hadith-hadith lainnya.


Pengiraan Zakat

Wang simpanan apabila telah cukup nisab dan genap setahun dalam simpanan, hendaklah dikeluarkan 2.5% daripada purata baki terendah sepanjang tahun (dengan syarat baki terendah itu mencukupi satu nisab) bagi tahun tersebut. Penyimpan kemudiannya perlu memastikan jenis simpanan mereka:

  • Jika simpanan tersebut berada dalam bank atau akaun yang mengamalkan sistem kewangan Islam seperti: Bank Islam Jordan, HSBC Amanah, Maybank Islamic dan lain-lain; Kadar 2.5% boleh dipotong terus daripada jumlah simpanan.
  • Jika simpanan berada dalam bank konvensional dan akaun yang dibuka tidak berlandaskan sistem perbankan Islam;
    Kadar faedah interest (riba) perlu ditolak daripada jumlah simpanan. Kemudian, sebanyak 2.5% kadar zakat dipotong daripada baki tersebut (setelah ditolak interest).
  • Dinasihatkan kepada penyimpan yang membuka akaun dalam bank konvensional agar dapat memindahkan simpanan mereka kepada bank yang menawarkan perbankan Islam. Ini adalah untuk memudahkan pengiraan zakat dan memastikan pulangan yang didapati itu halal. Dan telah diketahui umum bahawa faedah (interest) yang didapati daripada simpanan adalah riba yang menjadi salah satu dosa besar sehinggakan Allah SWT mengishtiharkan perang kepada mereka yang mengamalkan riba. Firman Allah Taala:

(( يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَذَرُوا مَا بَقِيَ مِنَ الرِّبَا إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ * فَإِنْ لَمْ تَفْعَلُوا فَأْذَنُوا بِحَرْبٍ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَإِنْ تُبْتُمْ فَلَكُمْ رُءُوسُ أَمْوَالِكُمْ لَا تَظْلِمُونَ وَلَا تُظْلَمُونَ ))

Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang- orang yang beriman.
Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa. [Al-Baqarah:278-279]

Contoh pengiraan Zakat Wang Simpanan


Nisab semasa (CONTOH) : RM 8000

Tarikh

Wang Masuk

Wang

Keluar

Baki

(RM)

(RM)

(RM)

(RM)

01/01/xx

10,000.00


80,000.00

06/04/xx


20,000.00

60,000.00

21/06/xx


30,000.00

30,000.00

18/08/xx


20,000.00

10,000.00

01/09/xx

50,000.00


60,000.00

30/10/xx

1,000.00


61,000.00

12/11/xx

2,000.00


63,000.00

31/12/xx


12,000.00

51,000.00


Nota :

a. Baki terendah dalam penyata melebihi nisab (RM 8,000).

b. Baki terendah (RM10,000) merupakan jumlah tetap setahun.

c. RM10,000 x 2.5% = RM 250.00 setahun


Rujukan :

1. Fiqh az-Zakah, Dr. Yusuf al-Qaradhawi


UNIT ZAKAT DAN SEDEKAH MPPMJ 2010/11

http://zakatdansedekah.blogspot.com/


Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | 100 Web Hosting