Wednesday, 27 July 2011

Kena Bayar ke?

Assalamualaikum w.b.t
Bismillahirrahmanirrahim.


Rentetan daripada entri perincian panjang lebar mengenai zakat fitrah [klik untuk link], disini diringkaskan soalan-soalan penting bagi memudahkan rujukan bersesuaian dengan waqi' kita sebagai mahasiswa di Jordan.

zakat menyucikan

  • Adakah penuntut Malaysia di Jordan ini dianggap masih dibawah tanggungan bapa atau penjaga mereka?

Kesemua penuntut Malaysia di Jordan ini wajib membayar sendiri zakat fitrah mereka kerana:

1.  Mereka bukan lagi di bawah tanggungan bapa atau penjaga kerana telah mempunyai sumber kewangan sendiri. Sekiranya kanak-kanak yang belum baligh pun wajib mengeluarkan zakat fitrah dari harta mereka sendiri sudah tentu mereka yang sudah baligh dan mendapat biasiswa atau pinjaman pengajian wajib membayar sendiri zakat fitrah mereka. Tentulah tidak patut melepaskan tanggungjawab pembayaran zakat fitrah yang tidak sampai 2 dinar itu kepada bapa dan penjaga dengan alasan masih dibawah tanggungan mereka kerana belum bekerja sedangkan kesemua pembelian barang-barang keperluan diri yang lain (termasuk melancong) boleh dilakukan sendiri.

2.      Mereka telah pun melepasi had umur yang wajib bagi bapa atau penjaga mereka untuk menanggung mereka iaitu sehingga baligh untuk kaum lelaki. Bagi mahasiswi pula, walaupun hukum fiqah menetapkan bahawa tanggungjawab bapa atau penjaga untuk menyara mereka adalah sehingga mereka berumahtangga namun mereka kini telahpun memenuhi sebab pertama yang dinyatakan di atas iaitu mempunyai pendapatan atau sumber duit perbelanjaan sendiri dan bukan lagi wajib ditanggung oleh bapa.


  • Adakah terdapat pengecualian terhadap syarat di atas?

Ya, sekiranya seorang penuntut itu belajar dibawah tanggungan persendirian sepenuhnya dari bapa atau penjaga mereka tanpa ada menerima bantuan rasmi kerajaan maka dia dianggap belum mempunyai pendapatan sendiri dan masih dibawah tanggungan penjaga.




  • Adakah penerima zakat/ dermasiswa Baitul Mal negeri-negeri wajib membayar zakat fitrah?

Ya, penerima zakat atau dermasiswa di kalangan mahasiswa Malaysia di Jordan ini juga wajib membayar sendiri zakat fitrah tersebut sekiranya memenuhi dua syarat di atas. Begitu juga penerima pinjaman JPA atau MARA.


  • Dimanakah sepatutnya dia membayar zakat fitrah?

Dia wajib membayar zakat fitrah di tempat dia bermukim dan berpuasa walaupun bukan negara asalnya.


  • Sekiranya dia pulang beraya ke kampung?

Dia bebas memilih untuk membayarnya samaada di tempat dia bermukim iaitu Jordan ataupun di kampung halamannya sendiri di Malaysia. Semuanya terpulang kepada perkiraannya sendiri di manakah terletaknya asnaf yang lebih berhak menerimanya. Namun apa yang penting ialah kewajipan membayar zakat fitrah hanya bermula di tempat dia menyambut malam raya iaitu di Malaysia manakala pembayaran zakat fitrah sepanjang dia berpuasa diJordan hanyalah harus hukumnya seperti disebutkan sebelum ini.


  • Adakah isteri yang mendapat biasiswa pengajian atau sudah bekerja perlu membayar zakat fitrah mereka menggunakan duit sendiri?

Ulamak mazhab al-Syafii menetapkan bahawa sepertimana seorang suami itu wajib untuk memberi nafkah walaupun isterinya bekerja dan mempunyai harta, suami tetap bertanggungjawab untuk membayar zakat fitrah untuk isteri. Namun begitu isteri boleh secara sukarela membayarnya menggunakan duitnya sendiri dengan izin suaminya. Namun jika suami tidak mengizinkan maka dia tidak wajib membayarnya kerana kewajipan sebenar adalah di bahu suami.


- Heizal Hezry Omar
[Penasihat Syariah Unit Zakat dan Sedekah MPPM]




Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | 100 Web Hosting