Monday, 22 July 2013

Saya Tahu Saya Kena Qada' dan Fidyah tapi.....

Qadha, Fidayah & Kaffarah Puasa
Disediakan oleh: Biro Kajian dan Ilmiah Unit Zakat Sedekah Jordan (UZS MPMMJ)
Penulis: Yuhakim Fitri Bin Yunus

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah S.W.T yang telah mengurniakan kita nikmat terbesar dalam hidup ini, iaitu nikmat islam dan iman, selawat dan salam buat Rasul mulia yang telah menjadi rahmat kepada seluruh alam.

Firman Allah dalam Kalam-Nya:  

“Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa”. (al-Baqarah: 183)

Bulan Ramadhan amat sinonim dengan masyarakat muslim. Pada bulan yang mulia ini, umat islam di seluruh dunia akan menjalankan ibadah puasa yang telah diwajibkan atas mereka sebagai tanda patuh dan beriman kepada Yang Maha Kuasa Allah ‘Azzawajalla. Mereka menahan diri daripada makan dan minum di siang hari, di samping menjauhkan diri dari segala perkara yang membatalkan puasa selama 29 atau 30 hari Ramadhan.

Namun begitu, masih terdapat ramai umat Islam yang tidak tahu akan hokum hakam dalam syariat islam yang wajib mereka patuhi dan laksanakan sekiranya puasa mereka terbatal ataupun sengaja meninggalkan puasa di bulan Ramadhan ini. Lebih mendukacitakan, ramai dalam kalangan kita yang mengambil remeh tentang perkara ini sedangkan ia merupakan hutang yang wajib untuk dilangsaikan selagi kita masih hidup.

Sebagaimana perintah Allah dalam al-Quranul Karim

“(Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu maka sesiapa diantara kamu yang sakit atau dalam musafir (bolehlah ia berbuka) kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain”. (al-Baqarah; 184)

Apakah perkara yang perlu dilaksanakan atau bentuk-bentuk denda yang dikenakan sekiranya tidak berpuasa/ terbatal puasa di siang hari Ramadhan?

Hanya ada 4  kaedah yang ditetapkan syarak untuk menggantikan puasa, dan ianya berbeza mengikut sebab-sebab terbatalnya puasa itu.

  1. Qadha sahaja
  2. Membayar fidyah sahaja
  3. Qadha dan membayar fidyah
  4. Qadha dan dikenakan kaffarah

Sebelum kita huraikan dengan lebih lanjut, perlu diambil perhatian bahawa majority ulamak telah menetapkan terdapat 3 perkara yang yang menjadikan puasa seseorang itu terbatal apabila dia melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa, iaitu

1.      Tahu akan perkara yang dilakukan akan membatalkan puasa
2.      Tidak lupa
3.      Sengaja/ tidak dipaksa

Apakah maksud Qadha?

Qadha bermaksud menjalankan ibadah puasa sebagai ganti bagi puasa wajib yang ditinggalkannya. Hukumnya adalah wajib ditunaikan sebelum datangnya bulan Ramadhan yang seterusnya, jika tidak berkesempatan maka diwajibkan pula untuk membayar fidyah. Oleh itu lebih afdhal untuk menghabiskan bilangan puasa qadha terlebih dahulu sebelum memperbanyakkan puasa sunat.

Bagaimanakah cara untuk qadha puasa?

Pelaksanaan qadha puasa adalah seperti menjalankan ibadah puasa di bulan Ramadhan. Disyaratkan berniat sebelum terbit fajar atau sebelum masuk waktu subuh, menahan diri daripada makan, minum serta perkara-perkara yang membatalkan puasa dari terbit fajar (masuk waktu subuh) sehingga tenggelam matahari (masuk waktu maghrib).

Siapakah golongan yang hanya diwajibkan qadha sahaja?

1.      Orang yang berbuka puasa kerana sakit, kerana jika terus berpuasa, akan mendatangkan mudarat yang lebih besar atau bertambah lambat sembuhnya.

2.      Orang yang berbuka puasa kerana bermusafir melebihi 2 marhalah, iaitu melebihi 81KM (mengikut pandangan majority ulamak)

3.      Perempuan yang hamil, atau ibu menyusukan anak yang berbuka puasa kerana hanya khuatir berlaku mudarat atas dirinya sahaja tanpa khuatir akan keadaan anaknya.

4.      Orang yang terbatal puasanya kerana salah satu sebab yang membatalkannya.

5.      Orang yang berniat untuk mengqadhakan puasa bagi si mati, namun pandangan majority ulamak adalah lebih afdhal bayar fidyah.

Apakah maksud fidyah?

Fidyah bermaksud bayaran (secupak makanan asasi) yang perlu dijelaskan kepada golongan fakir miskin  sebagai suatu cara untuk menggantikan puasa Ramadhan yang ditinggalkannya atau sebagai denda keatas orang yang sengaja melewatkan puasa qadha sehingga masuk bulan Ramadhan yang baru. Hukumnya adalah wajib berdasarkan firman Allah Taala,

“(Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu maka sesiapa diantara kamu yang sakit atau dalam musafir (bolehlah ia berbuka) kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain dan wajib ke atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tuanya dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin (secupak bagi tiap-tiap satu hari yang tidak dikerjakan puasa) maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang di tentukan itu maka itu adalah suatu kebaikan baginya dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada memberi fidyah) kalau kamu mengetahui ”. (al-Baqarah: 184)


Siapakah golongan yang hanya diwajibkan untuk membayar fidyah sahaja tanpa perlu qadha puasa?

1.      Orang yang lemah kerana sudah tua dan tidak mampu lagi untuk berpuasa.

2.      Orang sakit yang tidak berdaya untuk berpuasa dan harapan sembuh sangat tipis. Mustahil baginya untuk menggantikan puasa dengan cara qadha.

3.      Orang yang berniat untuk membayar fidyah bagi menebus hutang puasa si mati.





Bagaimanakah cara untuk membayar fidyah?

Terdapat pendapat dalam bayaran fidyah, iaitu membayar menggunakan makanan asasi (dalam konteks malaysia adalah beras) ataupun bayar menggunakan duit. Kita boleh mengikut mana-mana pendapat yang dirasakan sesuai kecuali apabila ditentukan oleh mufti negeri masing-masing. Dalam hal ini mufti wajib diutamakan.





Turutan pengiraan fidyah adalah seperti berikut,

1.      Kenalpasti jumlah hari puasa yang ditinggalkan.

2.      Kira dan dapatkan jumlah cupak/ jumlah wang yang perlu dibayar.

3.      Beri fidyah kepada fakir miskin atau bayar kepada amil yang dilantik pihak berkuasa.

Kaedah pertama (jika menggunakan beras sebagai bayaran)

Secupak beras adalah bersamaan dengan 675 gram, iaitu lebih sedikit daripada setengah kilo. Namun dalam hal ini, amat dituntut untuk membayar lebih, tetapi membayar kurang jangan sekali.

Kaedah kedua (jika menggunakan duit sebagai bayaran)

Bayaran zakat fitrah yang telah ditetapkan pemerintah pada tahun semasa dibahagi 4. Ini kerana nilai zakat fitrah adalah berdasarkan harga semasa 1 gantang beras, dan 1 gantang beras bersamaan 4 cupak.
Contohnya, zakat fitrah bagi negeri Selangor pada 2013 adalah sebanyak RM 7, maka jumlah bayaran fidyah ialah

= RM 7 / 4
= RM 1.75

Contoh kedua, kaedah yang sama digunakan bagi yang sedang berada di Jordan, zakat fitrah bagi Jordan pada 2013 adalah sebanyak JD 1.5, maka jumlah bayaran fidyah ialah

= JD 1.5 / 4
= JD 0.375 atau 375 qursh

Namun perlu diberi perhatian, dalam hal ini, membayar lebih tidak mengapa, tetapi membayar kurang jangan sekali.

Seseorang yang diwajibkan membayar 30 cupak untuk 30 hari puasa yang ditinggalkan, hendaklah memberi secupak beras kepada 30 orang miskin ataupun dibolehkan juga untuk membayar 30 cupak kepada seorang dari orang miskin.

Persoalan yang timbul, adakah jumlah bayaran fidyah berganda sekiranya jumlah tahun hutang qadha puasa bertambah?

Terdapat dua pandangan terhadap masalah penggandaan kiraan fidyah tertangguh:

1    1)  Tidak digandakan. Ini adalah pandangan mazhab Imam Hanafi, Imam Maliki dan Imam Hanbali.
     2) Digandakan. Ini adalah pandangan mazhab Imam Syafie.

Kita boleh mengikut mana-mana pendapat yang dirasakan sesuai kecuali apabila ditentukan oleh mufti negeri masing-masing. Dalam hal ini mufti wajib diutamakan.
Contoh mudah bagi pengiraan fidyah tertangguh adalah:

Tinggal puasa 1 hari tahun lepas, bayar 1 cupak.
Tinggal puasa 2 hari tahun lepas, bayar 2 cupak.
Tinggal puasa 1 hari 2 tahun lepas, bayar 2 cupak.
Tinggal puasa 2 hari 2 tahun lepas, bayar 4 cupak.
Tinggal puasa 1 hari tahun lepas dan 1 hari 2 tahun lepas, bayar 3 cupak.
Tinggal puasa 2 hari tahun lepas dan 1 hari 2 tahun lepas, bayar 4 cupak.
Kesimpulannya, darabkan jumlah hari dengan jumlah tahun lalu (berasingan mengikut tahun) dan kemudian tambahkan kesemua tahun-tahun ini, maka dapatlah jumlah cupaknya.
Untuk mengetahui jumlah fidyah yang perlu anda jelaskan, sila rujuk kepada Baitulmal yang berdekatan.

Siapakah golongan yang wajib qadha dan membayar fidyah?

1.      Perempuan yang hamil atau ibu menyusukan anak yang berbuka puasa kerana khuatir berlaku mudarat pada kandungannya atau menjejaskan kesihatan bayinya.

2.      Orang yang meninggalkan puasa dengan sengaja tanpa uzur. Ini adalah pandangan ulama-ulama Imam Syafie Rahimahullah.

3.      Orang yang lewat qadha puasa hingga datang bulan Ramadhan yang baru.






Apakah yang dimaksudkan dengan kaffarah?

Mengikut pendapat mazhab Imam Syafie, kaffarah bermaksud denda yang dikenakan terhadap sesiapa yang terbatal puasanya disebabkan bersetubuh pada siang hari Ramadhan.

Siapakah golongan yang diwajibkan kaffarah ke atasnya?

Terdapat satu golongan sahaja iaitu yang terbatal puasanya disebabkan bersetubuh di siang hari Ramadhan, perkara ini termasuk bagi suami isteri mahupun pasangan yang berzina. Pandangan Imam Bukhari dan mazhab Zahiri menetapkan kaffarah berlaku ke atas kedua-dua yang terlibat dalam persetubuhan. Adapun mengikut pendapat mazhab Imam Syafie, kaffarah hanya dikenakan ke atas si suami sahaja manakala si isteri hanya perlu mengqadhakan puasanya sahaja.

Bagi golongan yang sengaja membatalkan puasa dengan niat untuk bersetubuh selepasnya, juga dikenakan kaffarah mengikut pandangan mazhab Imam Syafie. Tetapi perkara sebegini  sangatlah tidak elok kerana seperti mempermain-mainkan agama apatah lagi dilakukan dalam bulan Ramadhan yang mulia.

Bagaimana untuk melaksanakan kaffarah?

Kaffarah hendaklah dilakukan salah satu secara tertib mengikut turutan di bawah (mengikut pendapat mazhab Imam Syafie):

    1.     Memerdekakan seorang hamba

    Sekiranya tidak mampu,
    2.      Berpuasa 2 bulan berturut-turut

    Sekiranya tidak mampu,
    3.      Memberi makan 60 rang miskin dengan makanan  yang mengenyangkan.



Sebagaimana yang dirakam dalam satu hadis sohih,

Dari Abu Hurairah, Beliau berkata : Tatkala kami duduk disisi Nabi tiba-tiba datang kepadanya seorang laki-laki, dan dia berkata “Wahai Rasulullah binasa aku”, maka Beliau bertanya “kenapa engkau ?”, orang itu menjawab “Aku telah menyetubuhi istriku, padahal aku berpuasa”, dalam sebuah riwayah “Aku menyetubuhi keluargaku di bulan Ramadhan”, maka Rasulullah bersabda “Apakah engkau mendapatkan seeorang budak yang engkau bisa membebaskannya ?”, maka orang ini menjawab “Tidak ada”, Rasulullah bersabda “Apakah engkau mampu berpuasa dua bulan secara berturut-turut?”, maka orang ini menjawab “Tidak”, Rasulullan bersabda “Apakah engkau mendapatkan pemberian makan kepada 60 orang miskin ?”, maka orang ini menjawab “Tidak”. Berkata Abu Hurairah “maka Nabi terdiam”, maka tatkala kami dalam keadaan yang demikian itu tiba-tiba didatangkan kepada Nabi dengan sebuah kantong (kantong yang terbuat dari pelepah kurma seukuran masuk didalamnya 15 sha’ dari sesuatu) yang padanya terdapat kurma. Kemudia Nabi bertanya “Mana orang yang bertanya tadi ?”, maka orang ini menjawab “Aku”, maka Nabi berkata “Ambillah ini lalu bersedekahlah dengannya”, orang ini berkata “Apakah atas orang yang lebih faqir daripadaku wahai Rasulullah ?, maka demi Allah tidak ada diantara dua kampungnya sebuah keluarga yang lebih faqir daripada keluargaku”, maka Nabi tertawa sampai terlihat gigi saingnya, kemudian Beliau bersabda “Berikanlah dia kepada keluargamu”.
(riwayat Bukhari no.6164)


Persoalan yang timbul, apakah yang dimaksudkan dengan 2 bulan berturut-turut?

Ini adalah pandangan semua ulamak dan fuqaha’ berdasarkan hadis nabi “syahraian mutatabi3in”. dan majority fuqaha’ mensyaratkan bulan Ramadhan serta hari-hari yang diharamkan puasa seperti aidilfitri dan aidiladha dan hari-hari tasyriq hendaklah tidak masuk dalam kiraan 2 bulan itu.

Ulamak-ulamak Hanafi dan Syafie berpendapat kiraan 2 bulan berturut-turut itu akan terbatal walaupun berbuka disebabkan sakit uzur kecuali disebabkan haid dan nifas.

Sekiranya jimak berlaku beberapa kali dalam satu hari maka suami dikenakan sekali kaffarah sahaja. Begitu juga bagi isteri walaupun berlaku jimak beberapa kali dalam satu hari dia wajib mengqadha'kan puasa. Sebaliknya jika jimak berlaku pada hari yang berlainan maka kaffarah yang dikenakan adalah mengikut bilangan hari. Contohnya jimak  dilakukan sebanyak 2 tetapi pada hari yang berlainan, maka suami wajib membayar 2 kali kaffarah, dan isteri wajib mengqadha' puasa dua hari.

Wallahua3lam.

Rujukan:
1.      Al-Quran
2.      Kitab Sahih Bukhari
3.      Kitabفقه العبادات لفضيلة الشيخ محمد بن صالح العثيمين  , keluaran دار الكتاب العلمية
4.      Kitab الجامع الأحكام الصيام  karangan as-Syeikh Mahmud Abd Latif ‘Uwaidah
5.      Fiqh Manhaji
6.      www.e-fatwa.gov.my








Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | 100 Web Hosting