Monday 18 July 2011

KES-KES PENERIMA BANTUAN ZAKAT






Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Mungkin ramai di kalangan penuntut atau warga Malaysia di Jordan ini masih tidak mengetahui yang mana ada di kalangan sahabat-sahabat kita yang sedang dihimpit masalah khususnya masalah kewangan. Sehinggakan masalah yang menghimpit mereka ini dapat mengganggu gugat pembelajaran mereka.

Antara kes-kes pemohon bantuan zakat dan sedekah yang pihak UZS terima adalah :

Kes 1
Seorang pelajar dari Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) telah dihantar ke salah sebuah universiti di Jordan untuk melanjutkan pengajian tinggi. Sekumpulan penaja (dari kalangan orang ternama) telah berjanji untuk menanggung kesemua kos pengajiannya selama 4 tahun di sini. Namun, janji hanya tinggal janji. Kini, setelah 2 tahun berada di sini, hanya tiket penerbangan untuk  ke Jordan sahaja yang ditaja. Manakala kos hidup pula terpaksa ditanggungnya sendiri melalui keluarganya yang miskin dan juga wang kutipan daripada tabung yang diedar oleh pengetua sekolahnya dahulu.

Kes 2
Seorang pelajar yang telah kehilangan bapa terpaksa meminjam wang rakan-rakannya bagi membayar yuran pengajian universiti. Dia tidak mendapat mana-mana tajaan. Pendapatan sebulan ibunya ialah RM800 yang diperoleh daripada wang pencen arwah bapanya. Adik-beradiknya ramai. Ibunya terpaksa menanggung dia dan kesemua adik-beradiknya yang masih lagi bersekolah.

Kes 3
Oleh kerana sumber kewangan yang tidak mencukupi untuk membayar yuran pengajian dan untuk menampung kos sara hidupnya di sini, seorang pelajar terpaksa menangguh semester pengajiannya lalu pulang ke Malaysia untuk bekerja demi mendapatkan sumber kewangan tersebut.






Ini merupakan sebahagian kecil daripada kes-kes yang direkodkan oleh pihak kami. Kami menerima lebih banyak kes-kes atau aduan seumpama ini. Mungkin tedapat kes-kes yang seumpama atau lebih dhaif daripada yang pihak kami ketahui ini yang tiada dalam rekod kami. 

Jika kita lihat, alangkah bersyukurnya kita dengan nikmat yang Allah Azzawajalla kurniakan kepada kita sebagai penuntut yang mendapat tajaan biasiswa atau pinjaman atau mempunyai keluarga yang sangat berkemampuan untuk membiayai pengajian kita di sini. Justeru, siapa lagi jika bukan kita yang berkemampuan ini untuk membantu mereka yang menghadapi masalah begini. 

Kita semua adalah saudara bukan?

"Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya." [Al Baqarah : 261]

Ayuh hulurkan Bantuan, Ringankan Beban mereka. 



UNIT ZAKAT DAN SEDEKAH MPPMJ 2011/12


Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | 100 Web Hosting