Alhamdulillah, kita memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wa Taala di atas anugerah serta limpahan rahmat yang telah diberikan ke atas kita selaku khalifah yang berada di muka bumi Allah ini. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad, penghulu segala Nabi yang sentiasa memikirkan kesejahteraan umatnya.
Firman Allah s.w.t,
مَنْ قَتَلَ نَفْساً بِغَيْرِ نَفْسٍ أَوْ فَسادٍ فِي الْأَرْضِ فَكَأَنَّما قَتَلَ النَّاسَ جَميعاً وَ مَنْ أَحْياها فَكَأَنَّما أَحْيَا النَّاسَ جَميعاً
(Surah Al-Maidah : 32)
Kabinet kepimpinan MPPM sesi 2008/2009 semakin hampir ke penghujungnya. Sebelum kami melabuhkan tirai, MPPM telah melancarkan Program Infak & Takaful semasa program MEKAR di Mafraq, Jordan. Program ini diwujudkan sebagai satu wadah dan wasilah untuk mahasiswa-mahasiswa seJordan menyumbang, juga sebagai satu inisiatif bagi membantu ahli yang mempunyai masalah dari aspek kewangan. Program ini dibahagikan kepada 2 bahagian, iaitu Zakat dan Sedeqah.
Setelah bermesyuarat dan berbincang, satu garis panduan telah disusun berkenaan Zakat yang wajib bagi mahasiswa yang cukup syaratnya iaitu zakat wang simpanan. Melalui wakil yang ada, zakat akan dikutip dan diberikan kepada asnaf-asnaf yang ditetapkan.
Begitu juga untuk bahagian Infaq dan sedeqah. Pelajar-pelajar yang berkemampuan amatlah digalakkan untuk menyumbang melalui skim yang disediakan samada skim sumbangan tetap setiap bulan dengan atau skim bebas. Wang ini akan disalurkan kepada unit kebajikan persatuan-persatuan tanpa memasukkan ke dalam akaun kewangan persatuan. Seandainya terdapat lebihan kewangan daripada zakat dan sedeqah, duit tersebut akan diberikan ke masyarakat tempatan.
Buat akhirnya , saya mengharapkan sambutan yang memberangsangkan daripada semua pihak. Saya yakin, ramai di kalangan pelajar kita yang berkemampuan, mendapat kenaikan elaun tajaan dan sebagainya. Mengapa tidak kita sumbangkan sebahagian daripada elaun tersebut untuk membantu mereka yang benar-benar memerlukan. Ingatlah barangsiapa yang membantu meringankan beban manusia, seolah-olah dia telah membantu manusia seluruhnya. Yakinlah seandainya kita menyumbangkan walaupun sedinar, maka Allah s.w.t akan membalasnya dengan berlipat kali ganda, dimurahkan rezeki kita di dunia dan ditetapkan syurga untuk kita di akhirat.
"Hulurkan bantuan, ringankan beban"
DZULQARNAIN BIN AHMAD ISKANDAR SHAH
Presiden MPPM 0809