Zakat Wang Simpanan
Antara zakat yang wajib dikeluarkan ialah zakat harta atau wang simpanan. Kewajipan ini berlandaskan kepada hukum zakat emas dan perak kerana mempunyai illah (sebab) yang sama iaitu mata wang.
Firman Allah Taala:
وَالَّذِينَ يَكْنِزُونَ الذَّهَبَ وَالْفِضَّةَ وَلَا يُنْفِقُونَهَا فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَبَشِّرْهُمْ بِعَذَابٍ أَلِيمٍ
"Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. [Surah Al-Taubah: ayat 34]."
Abu Daud meriwayatkan daripada Saidina Ali bahawa Nabi Muhammad s.a.w telah bersabda:
"Apabila kamu mempunyai 200 dirham dan telah cukup haul (genap setahun) diwajibkan zakatnya 5 dirham , dan tidak diwajibkan mengeluarkan zakat (emas) kecuali kamu mempunyai 20 dinar (salah satu matawang zaman dahulu yang digunakan di negara Arab). Apabila kamu mempunyai 20 dinar dan telah cukup haulnya diwajibkan zakatnya setengah dinar. Demikian juga kadarnya jika nilainya bertambah dan tidak diwajibkan zakat bagi sesuatu harta kecuali genap setahun."
Syarat Wajib Zakat
1. Nisab (nilai):
Harta tersebut hendaklah cukup nisab dan nilainya mengikut harga 85 gram emas atau 595 gram perak. Namun begitu pengiraan yang dipilih oleh kebanyakan ulamak sekarang ialah mengikut nilaian emas kerana harga perak pada masa kini telah jatuh dan tidak digunakan sebagai sandaran lagi.
*Nilai ini biasanya berubah-ubah dari semasa ke semasa berdasarkan harga emas di pasaran tempatan.
2. Haul (tempoh):
Harta tersebut hendaklah sempurna berada dalam milik selama setahun mengikut bulan Islam.
* Jika dalam tempoh setahun tersebut, harta itu menjadi kurang daripada nisab, maka tidak wajib zakat dan putus haulnya. Jika harta tersebut kembali bertambah dan cukup nisabnya, maka dari tarikh tersebut bermula haul yang baru.
* Diwajibkan mengeluarkan zakat harta dengan wang, dan tidak sah menggantikannya dengan barang makanan dan lain-lain.
Pengiraan Zakat
- Wang simpanan apabila telah cukup nisab dan genap setahun dalam simpanan, hendaklah dikeluarkan 2.5% daripada baki terakhir bagi tahun tersebut. Penyimpan kemudiannya perlu memastikan jenis simpanan mereka:
* Jika simpanan tersebut berada dalam bank atau akaun yang mengamalkan sistem kewangan Islam seperti: Bank Islam Jordan, HSBC Amanah, Maybank Islamic dan lain-lain;
- Kadar 2.5% boleh dipotong terus daripada jumlah simpanan.
* Jika simpanan berada dalam bank konvensional dan akaun yang dibuka tidak berlandaskan sistem perbankan Islam;
- Kadar faedah interest (riba) perlu ditolak daripada jumlah simpanan. Kemudian, sebanyak 2.5% kadar zakat dipotong daripada baki tersebut (setelah ditolak interest).
* Dinasihatkan kepada penyimpan yang membuka akaun dalam bank konvensional agar dapat memindahkan simpanan mereka kepada bank yang menawarkan perbankan Islam. Ini adalah untuk memudahkan pengiraan zakat dan memastikan pulangan yang didapati itu halal. Dan telah diketahui umum bahawa faedah (interest) yang didapati daripada simpanan adalah riba yang menjadi salah satu dosa besar sehinggakan Allah SWT mengishtiharkan perang kepada mereka yang mengamalkan riba.
Firman Allah Taala:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَذَرُوا مَا بَقِيَ مِنَ الرِّبَا إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ * فَإِنْ لَمْ تَفْعَلُوا فَأْذَنُوا بِحَرْبٍ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَإِنْ تُبْتُمْ فَلَكُمْ رُءُوسُ أَمْوَالِكُمْ لَا تَظْلِمُونَ وَلَا تُظْلَمُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang- orang yang beriman. Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.” [Al-Baqarah:278-279]
Contoh Pengiraan Zakat
Akuan Bank Islam
Baki akhir tahun: JD 2,000
Zakat: 2.5% x JD 2,000
Jumlah zakat yang perlu dikeluarkan: JD 50
Akaun bank konvensional
Baki akhir tahun: JD 2,000
Faedah: -5%
Baki bersih: JD 1,900
Zakat: 2.5% x JD 1,900
Jumlah zakat yang perlu dikeluarkan: JD 47.5